'Ada kemungkinan Teoh bunuh diri'
Aug 14, 09 11:06am
Mahkamah Koroner yang mendengar inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu bahawa berdasarkan beberapa bukti, terdapat kemungkinan setiausaha politik itu membunuh diri.Pakar Perunding Kanan Perubatan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Dr Khairul Azman Ibrahim, 51, berkata pendapatnya itu berdasarkan ketiadaan unsur pergelutan yang jelas dekat tingkap yang dipercayai tempat Teoh terjatuh dari Tingkat 14 Plaza Masalam yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, pada 16 Julai lepas.
"Buktinya tiada kesan darah, kesan pecah dan barang berterabur dekat tingkap tersebut, dan juga sebatang pen SPRM yang terdapat dalam poket mangsa masih berada di situ."Juga dari hasil DNA tidak ada terdapat kesan-kesan DNA dari pegawai SPRM dan juga kesan kecederaan yang dialami tidak menunjukkan apa-apa pergelutan dan ia boleh diterangkan ia disebabkan oleh kesan jatuh."Pada saya ia lebih kepada bunuh diri," katanya ketika ditanya oleh Tan Hock Chuan, peguam yang dilantik oleh kerajaan bagi membantu dalam pengendalian inkues itu.
Teoh, 30, setiausaha politik pengerusi Jawatankuasa Tetap KampungBaru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor di tingkat lima plaza itu, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan Selangor kepada SPRM. Dr Khairul Azman berpendapat kematian Teoh itu bukannya akibat dia dibunuh kerana tidak ada bukti kukuh yang menunjukkan berlaku sebarang pergelutan, manakala keadaan tempat kejadian tidak menunjukkan kesan darah dan kesan pecah serta barang bertaburan.
"Dari hasil DNA yang diambil daripada kakitangan SPRM yang berada di Tingkat 14, tiada bukti menunjukkan wujudnya kejadian tersebut. Yang menyokong hujah saya, saya percaya jika (ada) pergelutan, pen itu (berada dalam poket) akan tercampak," katanya.Ditanya oleh Tan mengenai kemungkinan Teoh dilemaskan, Dr Khairul Azman berkata: "Tiada tanda-tanda si mati lemas atau tidak sedar diri semasa di atas."Beliau juga menolak kemungkinan kematian disebabkan kemalangan kerana tiada bukti kukuh berdasarkan tempat kejadian (di Tingkat 14) adalah sukar untuk seseorang yang masih sedar tergelincir ketika berdiri di tepi tingkap kerana kawasan itu dilitupi karpet dan tidak licin.
"Bagaimanapun jika hendak dikatakan kemungkinan masih boleh lagi difikirkan, ini kerana ini boleh berlaku ketika mangsa cuba membuka tingkap dengan seluas-luasnya dan mangsa berada dalam keadaan mengantuk."Tetapi hujah tersebut boleh kita pertikaikan kerana sekiranya jika dia tergelincir di tempat tersebut dan keadaan tingkap separas pinggang, sekiranya si mati terjatuh, kemungkinan si mati mendarat dengan cara lain. "Mungkin kepala atau badannya dahulu, ini adalah kemungkinan sahaja," katanya.Kepada satu soalan mengenai kemungkinan seseorang terjatuh dari tempat tinggi, Dr Khairul Azman berkata secara amnya beliau berpendapat ia boleh disebabkan sama ada si mati terjatuh secara tidak sengaja, jatuh dengan cara terjun sendiri dan kemungkinan dia dicampak keluar atau ditolak.Sebelum itu, beliau berkata pendapatnya itu dibuat berdasarkan laporan bedah siasat dan toksikologi serta pemeriksaan di tempat kejadian yang dilakukan pada 16 Julai dan 22 Julai lalu.Berdasarkan laporan toksikologi itu, saksi itu berkata, beliau mendapati Teoh tidak dipengaruhi dadah dan alkohol pada waktu kejadian. BERNAMA
Seterusnya malaysiakini memaparkan perkara berikut
Peguam bantah teori Teoh bunuh diri
Aug 14, 09 7:16pm
Teori bahawa setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock, membunuh diri dengan terjun dari tingkat 14 Plaza Masalam adalah tidak berasas, dakwa peguam pemerhati keluarga mendiang dalam prosiding inkues hari ini.
Peguam Gobind Singh Deo berkata teori yang dikemukakan oleh pakar patologi itu tidak boleh diterima sama sekali kerana ia tidak disokong dengan bukti-bukti kukuh yang menunjukkan Teoh telah berdiri dan terjun melalui tingkap di tingkat itu, yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)."Saya katakan kepada doktor bahawa doktor adalah salah, ini bukanlah kes si mati terjun dan membunuh diri kerana tidak ada kesan tapak kasut atau kesan cap jari pada tingkap itu.
"Teori bunuh diri ini hanya dibuat berdasarkan fakta-fakta yang tidak wujud kerana doktor sendiri tidak melakukan pemeriksaan untuk menyokong teori ini," kata Gobind kepada Dr Khairul Azman Ibrahim ketika saksi ke-10 itu menyambung keterangannya hari ini.
Dalam prosiding itu, Gobind mempersoalkan mengapa tiada kesan tapak kaki pada bingkai tingkap jika benar Teoh dikatakan telah berdiri di situ sebelum terjun ke bawah."Mungkin ada, tapi tak nampak. Saya ada periksa tapi tak nampak. Kesan tapak kasut sukar ditemui di sekitar kawasan tingkap itu kerana tempat itu berkarpet," jelas Dr Khairul Azman, yang merupakan pakar perunding kanan perubatan forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.Beliau kemudian bangun dari kandang saksi dan menunjukkan gambaran bagaimana Teoh dikatakan telah terjun melalui tingkap itu.
Caranya ialah dengan mengeluarkan kaki kanan dahulu daripada pintu kandang saksi (diibaratkan sebagai tingkap), sambil kedua-dua belah tangan memegang kayu pintu kandang (sebagai bingkai tingkap), kemudian mengeluarkan kaki kiri dan berdiri di luar pintu kandang sebelum terjun ke bawah."Jika benar si mati terjun begitu, bukankah mesti ada kesan cap jari pada bingkai tingkap? Tapi kesan cap jari pun tiada. Ada doktor nampak kesan cap jari?" soal Gobind."Tiada, cap jari perlu dikesan dengan peralatan sesuai, di makmal saya tiada kemudahan itu," jelas Dr Khairul Azman."Tapi bukankah doktor boleh arahkan pihak polis untuk jalankan ujian pengesanan cap jari di situ?" soal Gobind lagi dan saksi itu mengakui tidak mengarahkan ujian cap jari dilakukan.Gobind seterusnya mempersoalkan mengapa kesan tapak kasut juga tidak ditemui di tebing dinding luar tingkap tempat Teoh dikatakan berdiri sebelum terjun ke bawah, seperti yang digambarkan oleh Dr Khairul Azman."Saya ada jenguk ke luar tingkap dan ke bawah tapi tak nampak kesan tapak kasut di situ. Kalau tapak kasut itu berdebu mungkin senang untuk dilihat," kata Dr Khairul Azman.Gobind turut mencadangkan kepada pakar patologi itu bahawa kasut sebelah kanan mangsa telah sengaja dicampak keluar melalui tingkap itu setelah mayat Teoh dicampak dahulu, yang menunjukkan adanya unsur-unsur homisid (pembunuhan) dalam kematiannya.
Peguam itu mempersoalkan mengapa kasut yang tercampak tidak beberapa jauh dari mayat Teoh ditemui itu tidak mempunyai apa-apa kesan yang sepadan dengan kesan impak setelah jatuh dari tempat tinggi."Pada pendapat saya, kasut itu tertanggal sebab ada impak yang kuat. Tapi saya tak nampak apa-apa kesan, saya hanya jalankan 'visual observation' (pemerhatian secara visual)," kata Dr Khairul Azman."Tapi adakah doktor bersetuju ada kemungkinan mayat si mati dicampak dahulu, kemudian kasutnya pula dicampak?" tanya Gobind dan Dr Khairul Azman menjawab: "Ya, ada kemungkinan."Saksi pakar itu juga mengakui tidak menjalankan sebarang ujian mengesan cap jari pada kasut tersebut atas alasan tidak mempunyai kemudahan sedemikian di makmalnya di hospital terbabit."Kenapa tidak arahkan polis untuk buat ujian? Adakah sebab hendak menutup cerita?" dakwa Gobind dan Dr Khairul Azman membalas: "Tidak. Saya terlupa nak buat ujian cap jari."Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di situ.Dr Khairul Azman akan menyambung keterangannya Isnin depan. BERNAMA
Pada dua berita tersebut keadaan masih belum jelas maka tidak sewajarnya bagi Utusan malaysia mengambil tajuk tersebut sebagai tajuk muka depan. Akibat dari itu menimbulkan kemarahan keluarga mendiang dan sahabat yang bersimpati dengan mendiang. Sewajarnya Utusan memohon maaf kepada keluarga mendiang dan sahabatnya. Semuanya kerana manusia mempunyai persepsi yang berbeza terhadap sesuatu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan