Sekarang Kerajaan kelantan telah mengeluarkan Dinar dan Dirham. Bagi wanita jika dinar dan dirham itu dijadikan perhiasan maka tak kenalah zakatnya. Orang lelaki hukum perhiasan emas tetap haram. namun dalam dinar dan dirham maka ianya bukan perhiasan. Orang lelaki tidak boleh memakai sebagai perhiasan tetapi boleh memakai sebagai matawang atau muamalat.
Tahniah kepada Kelantan kerana Dinar dan Dirham. Dari ianya haram sebagai perhiasan menjadi halal dalam muamalat. Sesungguhnya Allah tidak jadika sesuatu itu sia-sia. sesungguhnya setiap kejadian Allah itu amat bernilai dan tak ternilai. Manusia makhluk Allah yang amat bernilai. Bertuahlah manusia itu jika dia dapat menjadikan dirinya bernilai disisi Allah.
Orang Kelantan berebut beli Dinar - Bernama
Harakahdaily |
KOTA BHARU, 19 Ogos: Walaupun para pemimpin Umno menyerang Dinar dan Dirham Kelantan, media milik kerajaan sendiri, Bernama melapor, rakyat Kelantan berebut-rebut membelinya di hari pertama ianya dibuka untuk jualan semalam. Dalam laporan itu, Bernama melaporkan, hari pertama dinar emas dan dirham dibuka untuk jualan, semalam menyaksikan rakyat Kelantan memenuhi Pusat Pajak Gadai Islam Ar-Rahn di Kota Bharu bagi mendapatkan mata wang yang diperkenalkan kerajaan negeri itu. Rata-rata pembeli yang ditemui berkata mereka berhasrat menjadikan dinar dan dirham itu sebagai hiasan diri seperti loket dan juga untuk disimpan sebagai koleksi peribadi. Akhbar Umno sendiri, Utusan Malaysia, turut menyiarkan laporan Bernama ini dalam laporannya hari ini. Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Awang Adek Husein menyelar langkah kerajaan negeri memperkenalkan Dinar dan Dirham itu seolah-olah kerajaan negeri mahu memperkenalkan mata wang sendiri. Perkara ini dinafikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa. Mereka berkata, Dinar digunakan untuk 'pertukaran barangan' (butter trade) sahaja bukan mata wang. Seorang pembeli, Zainun Che Aziz, 60, berkata pengeluaran dinar itu adalah trend terbaru emas di pasaran yang perlu dibeli dan harus dimiliki. "Emas ni ikut musim, macam-macam bentuk dan saiz emas keluar di pasaran dan bila keluar emas dinar ni saya rasa mesti beli kerana ia unik dan saya mahu membuat loket untuk diberi kepada cucu saya. Kalau tidak beli rugilah mana tahu tiba-tiba ia tidak dijual lagi," katanya. Sementara itu, Pengurus Operasi Ar-Rahn Kota Baharu 2, Siti Azian Ibrahim berkata sebanyak 344 keping dirham serta 50 keping dinar dibuka untuk jualan semalam. "Melihat situasi sebelum ini pada mulanya kita tidak menjangkakan jualan dinar akan mendapat sambutan kerana ramai yang tidak bersetuju dengan penggunaannya dalam urusan seharian. "Tetapi pembukaan jualan mata wang berkenaan di Ar-Rahn ini melihat sesuatu yang berbeza apabila rakyat tetap berminat membelinya dan kebanyakan pelanggan berkata mereka mahu menjadikan dinar itu sebagai perhiasan diri seperti loket dan gelang," katanya. Siti Azian berkata bagi dinar, terdapat lima saiz yang dijual dengan harga berbeza setiap hari mengikut nilai emas semasa dan hari ini harga bagi setengah dinar ialah RM296, satu dinar (RM592), dua dinar (RM1,184), lima dinar (RM2,960) dan lapan dinar (RM4,736). "Manakala bagi nilai dirham pula ialah satu dirham bernilai RM13, dua dirham (RM26), lima dirham (RM65), 10 dirham (RM130) dan 20 dirham (RM260)," katanya. Beliau berkata bagi dinar, ia dibuat menggunakan emas bernilai tinggi iaitu emas 916 yang diguna untuk membuat barang kemas. "Memang diakui di Kelantan trend membeli emas sentiasa wujud sejak dulu sehingga kini kerana tarikan nilainya yang sentiasa bernilai dan tidak akan turun secara mendadak sehingga merugikan," katanya. Siti Azian berkata mereka yang berminat untuk membeli dinar itu dan ingin mengetahui harga dari semasa ke semasa boleh layari laman web http://islamicmint.com.my/ atau mengunjungi pusat Ar-Rahn berhampiran, yang dipertanggungjawab menjadi wakil sah jualan dinar dan dirham. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan