Jelas Umno BN amat terdesak | | |
Nasruddin Hassan |
Sejak akhir-akhir ini, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melihat bahawa ‘serangan politik’ yang dilakukan oleh UMNO/BN agak kasar dan keras ke atas PAS dan Pakatan Rakyat. Media cetak dan elektronik pastinya menjadi ‘peluru tembaga’ yang cuba untuk mensasarkan kekebalan ‘jantung’ Pakatan Rakyat. Modus operandi mereka cukup mudah untuk dibaca kerana ia diatur dan digerakkan dalam keadaan cemas dan terdesak demi meningkatkan kembali reputasi mereka yang jatuh teruk dan meraih sda kepercayaan rakyat kepada prestasi mereka. Tindakan UMNO/BN mutaakhir ini demi memburukkan nama baik PAS, semakin liar dan kelihatan tidak terkawal. Baru-baru ini ditimbulkan isu doa kepada Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat yang kononnya salah dan bertentangan dengan Islam malah didakwa cuba menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong. Akhirnya mereka kantoi apabila didedahkan perbuatan doa malah membaca Yassin dan solat hajat yang dilakukan oleh UMNO buat calon BN Kamalanathan di Hulu Selangor dalam pilihanraya kecil baru-baru ini. Sedang doa yang dibacakan oleh Al Fadhil Ustaz Zakaria Ahmad dalam khutbahnya adalah untuk memohon hidayah Allah swt kepada Lim Guan Eng agar Lim Guan Eng menerima Islam. Satu doa yang terpuji dari pandangan agama Islam agar pemimpin itu diberikan hidayah. Kemudiannya UMNO/BN memainkan isu YB Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Serdang masuk surau dan ia dianggap sebagai suatu yang terlarang. Mereka menggambarkan kononnya MP Serdang itu menyampaikan ‘tazkirah’ kepada umat Islam di surau tersebut. Sepantas itu pihak JAIS dan MAIS bertindak disamping turut menyelar tindakan tersebut. Lebih malang mereka cuba mengheret pihak ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk kepentingan politik mereka. UMNO kantoi lagi apabila Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid dan Ruang Solat Utama di dalam Masjid. Muzakarah tersebut telah memutuskan bahawa:- pelancong bukan Islam diharuskan memasuki Masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan senantiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimana pun perbuatan berdoa atau bertafakkur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang. Tindakan dan sikap yang diambil oleh Pengarah JAIS, Khusrin Munawi dan Pengerusi MAIS, Mohamad Adzib Mohd Isa yang tidak membenarkan non muslim memasuki masjid dan surau adalah bertentangan dengan fatwa yang telah diputuskan baru-baru ini. Sebelum ini Khusrin Munawi juga menolak keras cadangan Ketua Pemuda DPPP, Ustaz Nasruddin Hassan agar Nikah Khitbah dipopularkan sebagai salah satu kaedah atau pendekatan untuk mengatasi bencana sosial yang melanda negara. Kegagalan mereka memberi gambaran dan nasihat yang betul dan tepat ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Negeri Selangor berhubung kes ini adalah sangat dikesali dan ia dianggap sebagai suatu kegagalan ketara dalam menjalankan tugas. Sikap yang DPPP ambil bukan kerana mahu mempertahankan MP Serdang tersebut secara membabi buta tetapi satu sikap dan tindakan yang berasaskan ilmu. Jika ianya satu tindakan yang tidak menyalahi hukum Islam kenapa DPPP mesti membantahnya. Sebab itu, DPPP nasihatkan semua pihak agar bertindak dan memberi pandangan mestilah berasaskan ilmu dan Islam adalah agama ilmu bukan agama emosi dan fantasi. DPPP melihat Khusrin dan Mohd Adzib wajar memberi perhatian bagaimana mereka boleh bertindak untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran umat Islam yang masih ramai melanggar syariat Islam. Masih ramai isteri-isteri pemimpin negara yang beragama Islam tidak menutup aurat ketika menghadiri majlis-majlis rasmi negara sama ada di dalam masjid atau di luar masjid. Perlu diingat bahawa malaikat Allah yang mencatat rekod perilaku umat manusia bukan hanya beroperasi di dalam masjid sahaja. Sepanjang bulan Ramadhan ini DPPP melihat bagaimana pusat-pusat hiburan masih beroperasi sehingga ke awal pagi dan kelihatan umat Islam yang derhaka tidak segan silu mengunjunginya. Sepatutnya dalam hal seperti ini, Khusrin dan Mohd Adzib menasihati ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan agar Baginda murka dan mengambil tindakan tegas ke atas muslim derhaka kerana ia lebih menghina Islam dan kesuciannya. DPPP melalui pihak sekteriat DPPP supaya menganjurkan Nadwah Kefahaman Islam (NKI) bersiri setiap bulan untuk menjelaskan apa jua isu yang timbul dalam negara kita menurut perspektif Islam dan disiplin ilmunya. Sebagai contoh isu berkait hukum hudud, nikah khitbah dan lain-lain termasuk hukum non muslim memasuki masjid semuanya boleh ditimbulkan dalam nadwah tersebut. Kita akan undang tokoh-tokoh penting yang sering salah faham terhadap Islam atau keliru mengenainya untuk menghadhiri siri nadwah yang akan kita anjurkan kelak. Kini DPPP telah bersedia dengan segala keupayaan dan kemahiran untuk menangani dan mengurus isu serta konflik yang melibatkan hukum Islam secara ilmiah, bersemuka, dialog dan hujah. Apa jua keadaan yang agama benarkan maka kita benarkan walau ia melibatkan orang lain sementara keadaan yang bertentangan dengan agama, kita tetap akan kata salah walau ia melibatkan diri kita sendiri. Ini prinsip perjuangan DPPP. Ustaz Nasruddin Hassan At Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan