Wang ehsan: Bukti Umno bankrap modal politik
Mohd Ali Hashim |
KEPALA BATAS, 19 Sept: Dakwaan yang dilemparkan oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang, bahawa wang ehsan kepada warga emas sebanyak RM100 setahun setiap orang dari hasil judi adalah satu bukti mereka telah bankrap modal politik. Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Ng Wei Aik, semasa menyampaikan ceramah isu semasa di Teluk Air Tawar, Kepala Batas, malam tadi. Menurutnya, dengan isu yang ditimbulkan oleh Reezal Merican itu, kemungkinan orang Melayu di Pulau Pinang akan terpedaya dengan retorik perkauman sempit yang mereka laungkan. Namun begitu, beliau yakin isu tersebut merupakan sebahagian dari ciptaan yang akan terus dipermainkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi meraih simpati sokongan orang Melayu yang semakin lama semakin terhakis terhadap mereka. "Sejak kita menerajui Kerajaan Negeri pada Mac 2008, konsep berjimat cermat yang diamalkan telah berjaya membawa penjimatan sebanyak 35.41 peratus. Peruntukan perbelanjaan sebanyak RM318.56 juta dijimatkan hanya kepada RM283.15 juta. "Ekoran dari penjimatan tersebut, kita telah berjaya menjimatkan sebanyak RM35.41 juta atau 11 peratus dari jumlah peruntukkan yang telah diberikan. Daripada jumlah tersebut sebanyak RM20 juta dibelanjakan bagi menghargai warga emas sebanyak RM100 setiap orang setahun. Bukannya dari hasil judi yang didakwa oleh mereka," ujarnya. Tambah Ng lagi, serangan bertubi-tubi yang dilemparkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng adalah kerana mereka beranggapan hanya Umno dan BN sahaja yang mampu berkuasa dan membela nasib rakyat. Katanya, mereka lupa bahawa tanpa Umno dan BN sekali pun, DAP serta PAS dan PKR mampu untuk memberi khidmat yang terbaik bagi menggantikan Umno dan BN sebagai pemerintah bukan saja di peringkat negeri malah sehinggakan ke Putrajaya. Semalam, Reezal yang juga merupakan Ketua Pemuda Umno Kepala Batas telah meminta penjelasan supaya kerajaan negeri menyatakan punca sebenar hasil yang diberikan kepada warga emas setelah terdapat dakwaan melalui satu laman blog bahawa wang tersebut datangnya dari sumber judi. Ng yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar turut menyatakan tohmahan yang dilemparkan oleh Umno itu adalah sebahagian dari usaha mereka untuk mencalarkan imej kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR). "Saya tidak merasa hairan dengan dakwaan ini kerana ia merupakan sebahagian dari tindakan mereka untuk mencalarkan imej PR. Jika sebelum ini mereka mengaitkan Ketua Menteri dengan isu doa dalam khutbah Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong. "Selepas itu mereka kaitkan pula Lim Guan Eng menyembelih lembu korban yang hanya orang jahil dalam agama saja akan percaya. Kini mereka kaitkan pula dengan sumber judi sedangkan pada awalnya Pulau Pinanglah yang menentang pemberian lesen judi bola sepak oleh Kerajaan Pusat," tegasnya lagi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan