Hakim Didakwa Silap Ketepikan Penghakiman Ingkar Khairy, Anwar Buat Rayuan
Oleh Dzulkarnain Taib
SHAH ALAM 27 Sept - Peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes saman fitnah RM100 juta terhadap Khairy Jamaluddin, S N Sankara berpendapat, Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof tersilap dalam keputusannya mengetepikan penghakiman ingkar yang diperolehi Ketua Pembangkang terhadap Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu.
Ketika dihubungi Suara Keadilan, Sankara berkata penyerahan surat tuntutan serta writ saman kepada Khairy di pejabat beliau di Akademi Pemuda, Tingkat 37 Menara Dato' Onn di Pusat Perdagangan Dunia Putra adalah sah dan teratur.
"Oleh kerana ia adalah sah maka Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Nazri Yahya serta bersependapat dengan saya bahawa ia adalah sah maka beliau mengeluarkan penghakiman ingkar terhadap Khairy yang dipohon Anwar daripada Mahkamah Tinggi.
"Jadi saya musykil bagaimana hakim boleh menterbalikkan penghakiman ingkar tersebut," jelas Sankara.
Beliau berhujah, surat tuntutan telah diserahkan kepada pejabat Khairy di Menara Dato' dan diterima oleh kakitangan pejabatnya.
"Undang-undang mengatakan surat tuntutan perlu dikemukakan kepada seseorang tidak kira dipejabat atau dimana-mana lokasi dia seseorang itu berada," kata beliau.
Susulan daripada itu kata Sankara, Khairy telah mengarahkan peguamnya, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah menjawab surat tuntutan itu dengan mengatakan anak guam beliau tidak bertanggungjawab ke atas dakwaan terhadap dirinya.
"Setelah peguam Khairy memberikan respons yang sudah dijangkakan maka saya pun menyediakan writ saman. saya menghantar saman itu juga kepada alamat yang sama kerana itulah alamat terakhir beliau. Saman tersebut juga diterima oleh pejabat Khairy," jelas beliau selanjutnya.
Sankara berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan minggu ini.
"Kita mempunya tempoh sebulan untuk melakukannya tetapi saya akan membuat rayuan minggu depan," kata beliau.
Jumaat lalu Zabariah membenarkan rayuan Khairydengan kos RM4,000 untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang diperoleh Anwar.
Pada 4 Disember 2008, Anwar memperoleh penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi terhadap Khairy apabila Ketua Pemuda Umno itu gagal memasukkan kehadiran selepas writ saman itu diserahkan ke atasnya.
Khairy kemudian memfailkan permohonan untuk mengetepikan penghakiman itu pada 20 Februari 2009.
Dalam samannya, Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan rakyat (KEADILAN) mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno telah mengeluarkan perkataan memfitnah dan punca pemaparan klip videobertajuk "Anwar and kin no threat" di beberapa laman web termasuk Malaysiakini.com.
Anwar mendakwa klip video di Malaysiakini.com mengandungi perkataan memfitnah oleh Khairy di satu ceramah di Lembah Pantai di sini pada 20 Februari 2008.
Perkataan memfitnah itu didakwa antara lain membawa maksud yang Anwar terlibat dalam aktiviti yang bercanggah dengan Islam, berkeperibadian tidak baik dan tidak layak memegang jawatan politik dan jawatan lain.
Anwar memohon RM100 juta sebagai ganti rugi teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan