|     KUALA LUMPUR, 11 Julai: PAS  hari ini mendesak Ketua Polis Negara dan timbalannya, Tan Sri Ismail  Omar dan Datuk Khalid Abu Bakar supaya meletak jawatan ekoran kekejaman  dan keganasan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap para peserta  Bersih 2.0 kelmarin sehinggakan seorang terkorban dan puluhan lagi  tercedera.
  “PAS mengecam keras tindakan biadab polis ini  sehingga menyebabkan kematian seorang peserta Saudara Baharuddin Ahmad  dan puluhan lagi yang cedera semata-mata tindakan ganas mereka. Ratusan  yang tercedera kerana dipukul, disepak dan diheret ke dalam trak adalah  pandangan jijik anggota keselamatan, yang tidak sepatutnya berlaku.
  "PAS  mendesak agar Ketua dan Timbalan Ketua Polis meletakkan jawatan dan  dihadapkan ke tribunal di atas jenayah yang dilakukan,” kata Ketua  Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya hari ini.
  Tindakan  ganas dan melampau polis, kata Tuan Ibrahim langsung tidak mencerminkan  slogan mereka Mesra, Cekap dan Betul – jauhlah lagi terpesong dengan  piagam pelanggan mereka, Tegas, Adil dan Berhemah.
  “Polis sepatutnya menjaga keselamatan rakyat dan bukannya menyebabkan mereka cedera secara sengaja.
  "Kebiadaban  anggota polis dan FRU dapat dilihat dengan jelas dari beberapa rakaman  video rakyat yang dirakamkan oleh pelbagai sumber samada peserta Bersih  2.0 ataupun media antarabangsa telah membuktikan kegagalan mereka dalam  menjamin keselamatan rakyat,” tambah beliau.
  Perhimpunan aman  Bersih 2.0 yang berlangsung 9 Julai yang lalu dicemari oleh tindakan  polis yang agresif dengan serangan gas pemedih mata bertubi-tubi dan  water cannon barangkali atas arahan kerajaan persekutuan pimpinan  Barisan Nasional telah menyebakan seorang mangsa terkorban dan puluhan  tercedera.
  Mangsa terkorban ialah Allahyarham Baharudin Ahmad,  58. Antara yang cedera termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar  Ibrahim, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad. Di samping itu, polis  juga telah menahan 1,667 orang sebelum melepaskan kesemuanya pada jam  9.30 malam hari Sabtu yang lalu.
  Bagaikan spring yang melantun  akibat ditekan, seramai 50,000 telah menghadiri perhimpunan Bersih 2.0  walaupun bermacam-macam cara yang digunakan kerajaan Barisan Nasional  untuk menghalangnya.
  Angka tersebut mungkin lebih kerana ada kumpulan-kumpulan yang tidak berjaya bergabung dengan kumpulan utama.  Ironisnya, ia merupakan satu senario yang kerajaan cuba nak elakkan  dengan melancarkan pelbagai tangkapan awal dan satu serbuan terhadap  segala yang berwarna kuning.
  Tuduhan kerajaan dan polis bahawa  Bersih 2.0 mungkin cuba membuat huru-hara di sekitar Kuala Lumpur juga  dibuktikan palsu apabila ketegangan diwujudkan polis sendiri setelah  menjadikan kawasan sekitar Kuala Lumpur bagaikan medan perang sebelum  perhimpunan bermula.
  “Dalam perhimpunan aman Bersih 2.0,  langsung tiada kejadian ganas oleh para peserta sebagaimana yang cuba  digembar-gemburkan media arus perdana sebelum ini.  "Oleh itu, kezaliman dan keganasan polis yang menggunakan gas pemedih  mata atau tembakan air asid sepatutnya tidak berlaku, kerana tiada  langsung sebab untuk mereka menggunakannya,” bidas Tuan Ibrahim yang  juga menyertai perhimpunan tersebut kelmarin.
  Tuan Ibrahim, yang  juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyelar kenyataan Ismail yang  kononnya mendakwa bahawa polis hanya bertindak ganas sedemikian selepas  diprovokasi para peserta Bersih 2.0.
  Dengan pelbagai gambar dan  video yang terpapar, Tuan Ibrahim berkata kenyataan songsang Ismail and  timbalannya sebaliknya hanya dapat berfungsi untuk mendedahkan  pembohongan mereka sendiri.
  Kepada para peserta Bersih 2.0,  beliau mengucapkan syabas bagi pihak PAS dan mengingatkan mereka kuasa  menentukan masa depan negara sudah berada di tangan mereka sekarang.
  “Andaikan  50,000 dan setiap seorang menyebarkan pengalaman Bersih 2.0 mereka  kepada 10 seorang – maka 500,000 rakyat akan terasa – dengan 500,000  setiap seorang berkongsi lagi dengan 5 orang – maka hasilnya 2.5 juta  rakyat yang tidak dapat bersama dapat merasai bagaimana kita semua  bersatu sebagai rakyat Malaysia pada 9 Julai yang lepas.
  "Dengan  perkongsian sedemikian, kita akan sedar bahawa permainan politik yang  cuba gempar-gemburkan bahawa rakyat Malaysia berpecah hanyalah taktik  licik Umno Barisan Nasional untuk mengekalkan kuasa mereka,” terang  beliau.
  Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim juga mengulangi  peringatannya kepada Pakatan Rakyat bahawa sokongan rakyat terhadap  Bersih 2.0 bukanlah petanda sokongan mereka kepada pakatan pembangkang  negara.
  “Rakyat menyokong Bersih 2.0 hanya semata-mata untuk  memastikan undi-undi mereka tidak di’offset’kan secara tidak sah oleh  pengundi hantu, pengundi pos yang tidak sah dan juga memastikan mereka  mendapat maklumat yang tepat sebelum mengambil keputusan untuk mengundi  siapa-siapa.
  "8 tuntutan Bersih 2.0 adalah untuk memastikan  wakil yang dipilih menang nanti di pilihanraya akan datang betul-betul  adalah pilihan rakyat dan bukannya pilihan parti pemerintah yang  memanipulasi sistem pilihanraya negara untuk kekal berkuasa,” terang  beliau.
  Pakatan Rakyat, katanya juga tidak harus terlalu yakin  bahawa dengan pilihanraya yang lebih bersih, kita bakal dapat menewaskan  Umno Barisan Nasional.
  “Rakyat yang menyokong Bersih 2.0 tetap  tidak akan mengundi kita sekiranya prestasi kita lemah dan tidak dapat  memberikan keyakinan kepada mereka untuk menerajui negara,” kata beliau.
  PAS juga merakam takziah kepada keluarga Saudara Baharuddin Ahmad, di atas kemalangan yang menimpa beliau.
  “Semoga tragedi ini akan menyemarakkan kebangkitan rakyat bagi menukarkan kerajaan yang zalim ini,” tambahnya.  | 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan