|    Laporan Khas Oleh Arshad Khan
  CAMERON HIGHLAND, 18 Ogos:   Tragedi kejadian tanah runtuh awal minggu lalu di perkampungan Orang  Asli Sungai Ruil di Brinchang telahpun meragut tujuh nyawa termasuk  empat wanita, manakala dua lagi parah.
 
 Dalam reaksi balasnya,  Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob telah cepat membuat  kesimpulan bahawa laporan awal tragedi tanah runtuh tersebut tidak  menunjukkan ia berlaku akibat pembangunan atau penerokaan tanah.  (Inilah perkampungan orang Asli Sungai Ruil yang hilang tujuh  nyawa baru-baru ini. Jelas kelihatan aliran air yang turun dari bukit  di atasnya.) 
 
 Adakah benar dakwaan Adnan bahawa ia adalah bencana alam semula-jadi atau ianya bencana buatan manusia?
 
 Namun,  itu adalah lumrah manusia terutamanya pihak berkuasa untuk mengaitkan  bencana alam sedemikian dengan kuasa semulajadi, akan tetapi kita  terlupa bahawa bencana sedemikian mungkin juga disebabkan kuasa manusia,  yang tamakkan kekayaan tanpa memikirkan keselamatan orang lain.
 
  Wartawan  perisik Harakahdaily Arshad Khan telah melaporkan penemuan eksklusifnya  ketika meninjau tempat kejadian tanah runtuh tersebut di Cameron  Highland, telah menunjukkan dakwaan bahawa tragedi tanah runtuh yang  menelan tujuh nyawa itu adalah hasil bencana alam semula-jadi adalah  jauh meleset.  (Gambar kiri: Air yang turun ke kawasan perkampungan orang Asli telah melalui aliran yang telah gondol)  Arshad dalam tinjauannnya 10 Ogos yang lalu mendapati bahawa  sememangnya terdapat aktiviti-aktiviti mengondokan bukit dan pembalakan  di sekitar satu lembah kecil di hujung penempatan orang Asli yang  mengumpul air dan airnya melimpah ke rumah-rumah di bawah.
 
 “Saya  menjangkakan punca tanah runtuh disebabkan buatan manusia adalah tepat.  Terdapat aktiviti di bahagian lembah kecil di hujung penempatan orang  Asli yang mengumpul air dan airnya melimpah ke rumah-rumah di bawah.   "Akan  tetapi, mengapa ia mengambil masa yang lama (untuk kejadian berlaku)  sedangkan penempatan di kawasan tersebut sudah lama? Ini bermaksud  aktiviti-aktiviti di kawasan lembah kecil tersebut adalah baru,” kata  Arshad.  (Longgokan tanah yang dibawa turun dari atas bukit berhampiran kawasan runtuhan)  Kata Arshad, sekiranya pokok di kawasan tersebut  ditebang untuk aktiviti perkebunan kecil-kecilan, aktiviti itu  sepatutnya dipantau dan langkah-langkah berjaga diambil untuk memastikan  tanah tidak terlalu terdedah untuk larian air pada permukaannya.
 
 “Tapak  kejadian tanah runtuh itu kelihatan seperti laluan air semulajadi dan  apa-apa halangan akan menyebabkan hakisan dan halangan kepada perembesan  air. Secara keseluruhannya, lereng gunung yang tidak diteres dan  disalirkan dengan baik, saya akan menyalahkan pihak berkuasa atas  kegagalan, kejahilan dan ketidakupayaan ini.
 
  "Penebangan  hutan semulajadi secara total sepatutnya tidak berlaku, namun sekiranya  terpaksa ia harus dilakukan secara berperingkat dengan menggantikan  dengan pokok buah atau pokok yang berakar umbi dalam. Tanah di Malaysia  adalah mudah, belum matang dan  mudah tercabut, tidak terikat dengan  kuat kerana kebanyakkan kandungan adalah pasir – penutup tanah atau akar  adalah penyelesaian terbaik terhadap hakisan,” tambah Arshad.  (Jentera berat yang digunakan untuk membuat kerja-kerja tanah yang menggondolkan bukit berhampiran kawasan bencana)
 
 Arshad  juga menemui satu projek perumahan mewah berdekatan dengan kawasan  kejadian (gambar) dan juga aktiviti-aktiviti perataan tanah sedang giat  dijalankan.  Selain itu, tinjauan Arshad telah menemukan beliau kepada satu papan  tanda yang menunjukkan aktiviti penempatan sekitar kawasan kejadian  tanah runtuh telahpun giat dijalankan mulai tahun lepas.
 
 Berdasarkan  maklumat pada papan tanda tersebut, pada penghujung April 2010,  kerajaan Pahang dan Menteri Besarnya Datuk Seri Adnan Yaakab telah  secara bangganya melancarkan program Perkampungan Pertama 2010 untuk  penduduk Kampung Sungai Ruil di Cameron Highland.
 
  “Penempatan  semula kaum Asli tidak berapa dipersetujui oleh orang Asli, dan ia amat  berkait dengan orang yang berkuasa yang bermatakan kekayaan yang boleh  dijana daripada hutan yang diduduki orang Asli dulu.  "Terlalu banyak orang yang berpangkat tertinggi yang terlibat dalam  rampasan hutan asal mereka, dan kini mereka telah lebih kurang menjadi  golongan nomad tanpa tanah nenek moyang mereka atau seperti sesetengah  di negara-negara lain, gypsies (orang yang selalu berpindahtempat atas  arahan pihak atasan).  (Papan tanda projek mewah yang dirasmikan oleh Adnan tetapi  beliau  berkata kejadian ini tidak ada kaitan dengan kerakusan manusia  tetapi  akibat bencana alam)
 
 "Siapakah yang mereka  boleh menjadi tempat mengadu sekarang? Tiada siapa! Mereka ini adalah  orang yang sangat mudah, yang tidak mempunyai banyak prinsip dan mudah  diambil hati oleh sedikit habuan yang diberikan golongan elit. Saya juga  pernah melihat beberapa proksi pembalakan dan lain-lain yang mengumpan  dengan memberikan 'gula-gula' untuk menipu pribumi untuk melepaskan  tanah nenek moyang mereka semata-mata untuk mendapatkan berjuta-juta  kayu berharga,” tambah Arshad lagi.
 
  Dalam  temuramahnya dengan seorang orang Asli yang berada di sekitar kawasan  kejadian tanah runtuh, Arshad berkata orang Asli itu memberitahu semasa  kejadian berlaku beliau terdengan satu bunyi guruh yang kuat dan  terlihat air deras bagai ombak mengalir ke bawah lereng gunung.  (Air yang turun dengan deras di parit sebelah rumah berasal dari takungan kecil di atas bukit) 
 
 “Beliau  menjerit dan menyuruh penduduk-penduduk mengosongkan rumah tapi  terlambat. Hujan juga telah menenggelamkan suaranya. Bagi saya, getaran  guruh itu mungkin telah memaksa keluar serpihan-serpihan yang memegang  air di kawasan lembah yang kecil tersebut,” tambah Arshad.
 
 Menjangkakan  pihak berkuasa akan mencadangkan satu jawatankuasa untuk menyiasat  punca kejadian tanah runtuh, samada semulajadi atau buatan manusia,  Arshad hanya memberikan satu komen sinis untuk mengakhiri laporannnya.
 
 “Tuhan  akan sentiasa senyap dan mungkin boleh dipersalahkan. Bagaimana pihak  berkuasa boleh dipersalahkan bilamana mereka tahu lebih baik dari Tuhan  untuk menggerupis dengan alam semula jadi?” soal beliau.  | 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan