|     KANGAR, 29 Ogos:  Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu (gambar) mendapati apa yang  dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia berkaitan dengan tragedi  Bukit Kepong adalah fitnah terhadap beliau dan PAS.
 
 Sehubungan  itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman  kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan  palsu itu.  (Mohamad Sabu dalam sidang medianya di Komplek PAS Perlis hari ini)
 
 "Saya  agak lambat menjawab isu ini kerana saya mahu melihat dan mendengar  balik apa yang saya katakan di ceramah itu. Pagi ini saya melihat balik  videonya dan mendapati apa yang dilaporkan oleh Utusan itu tidak benar  sama sekali," kata Mohamad Sabu kepada Harakahdaily.
 
 Mohamad Sabu  berkata, beliau mengambil masa untuk menjawab isu itu kerana ingin  mengenalpasti apa yang beliau katakan dengan tepat dalam ceramah itu.
 
 "Saya  tidak katapun Mat Indera itu Komunis, saya tidak sebut pun nama  beberapa-beberapa Cina yang dilaporkan dalam akhbar itu bahkan selepas  membaca laporan akhbar Umno itu baru saya tahu nama mereka," jelas  Mohamad Sabu yang juga membuat sidang media khas di sini hari ini  mengenainya.
 
 Akhbar itu pula, kata Mohamad, hanya menyiarkan laporan mengenai ceramahnya di Pulau Pinang itu selepas semingggu.
 
 "Saya  ceramah 21 Ogos, Utusan siar 27 Ogos...jadi saya lupa apa yang tepatnya  saya cakap, jadi saya tunggu rakaman itu dan pagi ini saya  mendengarnya," kata Mohamad.
 
 Utusan dan pemimpin Umno menyerang  Mohamad Sabu dengan tuduhan kononnya beliau menghina para polis Bukit  Kepong dan membela Komunis yang menyerang balai polis itu.
 
 Peristiwa Bukit Kepong terkenal kerana ia telah difilemkan oleh Datuk Jins Samsudin dengan filem berjodol Bukit Kepong.
 
 Rakaman  video Mohamad Sabu ketika berucap di Pusat Pendidikan Islam Padang  Menora, Tasek Gelugor baru-baru ini sampai ke tangan wartawan Harakah  Pulau Pinang semalam.
 
 Video itu kemudiannya disampaikan terus kepada Mohamad petang semalam dan ia dilihat beliau pagi tadi.
 
 Rakaman  yang diperolehi daripada seorang peminat tokoh nombor dua PAS itu dan  diberikan kepada Mohamad yang hadir pada majlis berbuka puasa di Surau  Al Ghufron, Kuala Bekah, Penaga bersama Ketua Menteri, Lim Guan Eng  petang semalam.
 
 Mohamad dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan  akan meneliti terlebih dahulu ucapannya dalam rakaman berkenaan dan  sekiranya didapati Utusan Malaysia sengaja menokoh tambah cerita yang  bukan-bukan, maka tindakan undang-undang akan diambil.
 
 Utusan  Malaysia dalam laporan muka depannya baru-baru ini menyiarkan Mohamad  Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan  Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25  anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam  serangan di balai tersebut.
 
 Selain itu, Utusan melaporkan,  timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau  Pinang pada 21 Ogos lalu, turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul  Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana  menganggap mereka sebagai pegawai British.  Saya seolah sokong Komunis
 
 "Berikutan dengan  penyiaran berita itu, Radio dan Televisyen Malaysia serta TV3 terus  menyiarkan dan membuat ulasan terhadap berita Utusan Malaysia itu,  seolah-olah saya adalah penyokong perjuangan komunis bahkan saya adalah  bapa komunis yang sebenar.
 
 "Beberapa akhbar dan laman  blog  meminta komen saya terhadap kecaman pelbagai pihak terhadap saya dan  saya memberitahu mereka bahawa saya akan membuat pendirian apabila saya  mendengar kembali ucapan saya tersebut kerana berita Utusan Malaysia  tersebut hanya disiarkan seminggu selepas tarikh ceramah.
 
 "Setelah  mendengar kembali ucapan saya dan dibandingkan dengan berita muka depan  dan muka 5 Utusan Malaysia, serta kecaman-kecaman yang berterusan  disiarkan Utusan Malaysia bertarikh 28 Ogos, maka saya dapati Utusan  Malaysia telah memutar belit dan menambah cerita yang menimbulkan fitnah  terhadap saya dan parti saya (PAS)," jelasnya pada sidang media yang  diadakan di Kompleks PAS Perlis hari ini.
 
 Ketika ditanya media  tentang ucapannya, Mohamad berkata beliau tidak pernahpun menyebut Mat  Indera itu sebagai seorang komunis sepertimana yang telah disiarkan oleh  Utusan Malaysia.
 
 "Selepas mendengar balik ucapan saya itu,  didapati saya berlaku percanggahan dengan berita yang disiarkan Utusan  Malaysia. Malah saya sendiri tak pernah dengarpun nama Goh Pen Tun  seperti yang disiarkan.
 
 "Berita itu telah ditokok-tambah sehingga  menimbulkan kegelisahan orang ramai dan menyebabkan saya dikecam,  diancam dan difitnah di atas penyiaran berita oleh Utusan Malaysia itu,"  jelasnya.
 
 Mengulas lanjut isu ini, Mohamad berkata penyiaran  berita seumpama ini adalah suatu taktik parti pemerintah dengan  menggunakan media arus perdana untuk mengalihkan isu sebenar yang lebih  besar seperti kepincangan sistem pilihanraya di negara ini.
 
 "Saya  tak nampak sangat penyiaran berita ini bertujuan untuk menjatuhkan saya  mahupun PAS, tetapi yang lebih besarnya mereka telah digunakan untuk  mengalihkan tumpuan rakyat dari isu Suruhanjaya Pilihanraya, isu  pendatang asing sebagai pengundi serta pembongkaran PAS dan Bersih  tentang kotornya daftar pemilih di negara ini.
 
 "Ini yang mereka  cuba alihkan dari pandangan orang ramai khususnnya sokonganorang-orang  Melayu. Jadi mereka guna ucapan saya yang telah diselewengkan itu untuk  mengalihkan isu yang lebih besar," jelasnya lagi.
   | 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan