|    KUALA LUMPUR, 29 Sept: DAP, PKR dan PAS hari ini  mengambil pendirian akan mempertahankan segala dasar yang dipersetujui  bersama disamping menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga  parti khususnya dalam isu hudud.
 
  Bercakap  pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di  Pejabat Agung PAS, lewat malam tadi, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar  Ibrahim berkata mereka mengormati aspirasi PAS mahu melaksanakan hudud  disamping menghormati pandangan DAP yang membantahnya ekoran  bertentangan dengan perlembagaan.
  Kesemua komponen parti katanya  memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan  Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum muafakat dalam Pakatan  Rakyat wujud.
  "Kita mendengar penjelasan Datuk Takiyuddin Hassan  yang mewakili kerajaan Kelantan bahawa perlaksaan hudud di negeri itu  hanya boleh dibuat dengan pindaan perlembagaan persekutuan.
  "Kita tidak boleh menafikan mana-mana hak PAS, DAP dan PKR untuk mengemukakan pandangan termasuk dalam isu syariah.
  "Kita  jelas menghormati hak dan aspirasi PAS (mahu laksanakan hudud). Cuma  dia terikat dengan apa yang kita sebut dasar bersama, semangat  perlembagaan dan Buku Jingga," katanya.
  Turut serta pada sidang  media itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pengerusi  DAP Karpal Singh, Penasihat DAP Lim Kit Siang serta 23 ahli mesyuarat  yang lain.
  Sebelum ini, semua pimpinan Pakatan Rakyat diarah  tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehinggalah  mencapai pendirian bersama pada mesyuarat malam ini.
  Mesyuarat  yang bermula kira-kira jam 9 malam tadi antara lain bagi mencari  pendirian bersama berhubung perbezaan pandangan antara ketiga-tiga parti  dalam isu hudud.
  "Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan  bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik Umno BN untuk  memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat," kata Anwar lagi.
 
  Isu  hudud telah bergema kembali ekoran cabaran yang dibuat oleh bekas  Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Kelantar agar  melaksanakan hudud kerana beliau bukan lagi perdana menteri.
  Kata  Mahathir, pemimpin PAS Kelantan sentiasa menyalahkan beliau apabila  tidak melaksanakan undang-undang itu ekoran satu surat amaran yang  dikeluarkan semasa beliau menjadi PM lalu.
  Mahathir meminta  Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz meminta kebenaran  dari Datuk Seri Najib untuk berbuat demikian.
  Najib pula dalam  jawapannya berkata, beliau tidak akan memberikan kebenaran itu walaupun  timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata sedia untuk berbuat  demikian.
  Parti MCA dan Gerakan memberikan amaran kepada Umno,  mereka akan keluar dari BN jika membenarkan undang-undang Islam itu  dilaksanakan.
  Ekoran itu, DAP juga membuat kenyataan akan keluar  Pakatan Rakyat jika pakatan setuju menjadikan agenda hudud sebagai  agenda bersama Pakatan.
  Ia terus panas apabila Tuan Guru Nik  Abdul Aziz menyatakan kerelaan jika DAP mahu keluar daripada Pakatan  Rakyat kerana tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum  hudud dan menubuhkan negara Islam.
  Nik Aziz berkata demikian  mengulas kenyataan Karpal bahawa parti itu tetap menolak penubuhan  negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama  sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.  Berikut adalah kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang  diperakui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri  Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut.  Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan  mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini  sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan  Buku Jingga.  Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi  mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan,  kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.  Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan  ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan  demokratik, termasuk  pendirian PAS berkenaan hukum syariah.  Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah  Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003  yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS  menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.  Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami  tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional  untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di  atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.  Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan  objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum  (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang  telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan  Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance),  Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency),  Kompetensi (Competency) bagi mencapai  Kemaslahatan Umum (Public Good)  untuk semua rakyat.  | 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan