Tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman kepada mahasiswa baru Universiti Industri Selangor (Unisel) milik kerajaan Selangor menyebabkan beberapa pelajar merancang dan terpaksa berhenti belajar kerana tidak mendapat pinjaman.

Tindakan itu juga menyebabkan pelajar baru di universiti tersebut terbeban dan terpaksa bergantung dengan keluarga untuk mendapatkan wang.

Seorang pelajar daripada Fakulti Seni dan Rekaan yang mahu dikenali sebagai Edy berkata, beliau mengalami kesukaran untuk menyiapkan tugasan apabila tidak mendapat bantuan kewangan.

Pelajar yang berasal daripada Kuala Terengganu, Terengganu itu juga melahirkan rasa kesal dan bercadang untuk pindah ke institusi pengajian tinggi lain sekiranya masih tidak mendapat pinjaman PTPTN.

"Ada dua tiga orang kawan saya yang dah pindah belajar tempat lain sebab tak dapat PTPTN. Sekarang ni pun ada kawan-kawan lain rancang nak tukar juga.

"Macam saya pun bukan daripada keluarga senang. Saya ada tujuh orang adik beradik. Bila tak dapat PTPTN ni saya bimbanglah. Saya pun ada fikir nak pindah tempat lain kalau masih tak dapat pinjaman," kata Edy, 18, ketika ditemui Malaysiakini semalam