BN sukar pertahan Kepala Batas tanpa Pak Lah |
Posted on Monday, June 11 @ 06:00:52 MYT by paktam
Oleh Syed Imran
Barisan Nasional, khususnya UMNO, akan mendapati bukan senang untuk pertahan kerusi Dewan Rakyat (Parlimen) Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang pada pilihan raya akan datang jika penyandangnya, Tun Abdullah Ahmad tidak bertanding.
Pak Lah yang mula dipilih sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas pada 1978 menggantikan allahyarham Datuk Mohamed Sopiee Sheikh Ibrahim adalah sinonim dengan Kepala Batas. Tanpa Pak Lah, Kepala Batas berkemungkinan besar jatuh ke tangan PAS, parti yang dijangka akan mewakili Pakatan Rakyat.
PAS perlu meletakkan calon yang boleh diterima rakyat, yang bukan sahaja kelihatan bersih daripada rasuah dan sebarang salahlaku jenayah seperti salahguna kuasa dan sebagainya tetapi benar-benar bersih dan boleh dipercayai, jika ingin menawan kerusi Kepala Batas
Bagi pihak UMNO, parti itu hanya akan menggali kubur sendiri sekiranya meletak salah orang sebagai calon menggantikan Pak Lah.
Dua nama disebut-sebut sebagai bakal calon, iaitu ketua pemuda UMNO Kepala Batas, Reezal Merican Naina Merican dan mantan timbalan ketua menteri dan timbalan menteri Persekutuan, Dr Ibrahim Saad. Jika benar mereka adalah bakal calon UMNO, maka parti itu kenalah siap siaga untuk mengadakan majlis talkin dan tahlil. Kedua-duanya bukan calon yang terbaik dan popular di kalangan pengundi. Inilah hakikat yang mesti diterima oleh UMNO.
Yang pasti, pilihan raya kali ini bagi kawasan Kepala Batas akan menjadi antara yang diamati ramai kerana ia akan memperlihatkan sokongan sebenar pengundi, iaitu kepada calon dan bukan kepada parti. BN dapat mempertahan kerusi Kepala Batas pada pilihan raya 2008 yang menyaksikan tsunami politik bukan atas kekuatan UMNO tetapi atas kekuatan dan penerimaan rakyat terhadap Pak Lah.
Tanpa Pak Lah, sukar bagi UMNO untuk pertahan keruai Kepala Batas.
http://kudaranggi.blogspot.com
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan