Keluarga A Kugan - individu yang mati dalam tahanan polis tiga tahun lalu - hari ini membuat empat tuntutan kepada kerajaan, termasuk meminta supaya kertas siasatan kes kematiannya dibuka semula.

Peguam keluarga Kugan, N Surendran mendakwa ini kerana terdapat ramai anggota polis yang didakwa terlibat dalam kematian pemuda tersebut pada 2009.

Katanya, berdasarkan maklumat, terdapat hampir 11 anggota polis digantung tugas selepas kejadian itu berlaku di balai polis Taipan di USJ-Subang Jaya pada jam 7 pagi pada 16 Januari 2009.

NONE"Mustahil seorang sahaja (anggota polis) terlibat yang dapat menyeksa Kugan untuk enam hari tanpa anggota lain terlibat ataupun tahu.

"Kita juga pun nak tahu arahan untuk menyeksa Kugan datang daripada mana? Siapa yang memberikan arahan? Adakah ketua polis negara tahu... Kita nak tahu, sebab tidak ada jawapan," kata Surendran (gambar atas, sebelah kanan).

Bercakap dalam sidang media di ibupejabat PKR di Petaling Jaya, Surendran berkata keluarga mangsa juga menuntut supaya kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon maaf berhubung kematian Kugan dan terhadap dakwaan terdapat usaha untuk menutup kes tersebut.

"Tidak pernah daripada kerajaan dan PDRM yang meminta maaf kepada keluarga, sebaliknya fitnah kepada keluarga Kugan daripada ketua polis Selangor ketika itu," kata Surendran lagi.

Semalam, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhi hukuman tiga tahun penjara terhadap konstabel berusia 29 tahun, V Navindran, yang didapati bersalah atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Kugan.

Keluarga: Hukuman tak masuk akal

Hakim Aslam Zainuddin ketika menyampaikan keputusan berkata, walaupun Navindran menerima tiga tahun penjara bagi setiap kesalahan, tetapi hakim memerintahkannya berjalan serentak.

Navindran mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan pada 1 Oktober 2009 atas dakwaan bawah Seskyen 330 Kanun Keseksaan.

NONESelain itu, Surendran yang juga naib presiden PKR berkata keluarga Kugan juga menuntut supaya tuduhan "fitnah" yang dilemparkan kepada Kugan antaranya "penjenayah" atau "perompak" juga ditarik balik oleh kerajaan.

Ini kerana, Kugan tidak pernah didapati bersalah di mahkamah, dan menyifatkan tuduhan itu satu penipuan besar sehingga menyebabkan "kesakitan" kepada keluarganya.

Beliau menyifatkan anggota dan pimpinan atas polis sebagai "penjenayah besar" kerana didakwa cuba menutup kes tersebut.

Keluarga Kugan juga menuntut supaya kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat segenap aspek berhubung kematiannya dengan bebas.

Mengulas keputusan semalam, Surendram berkata keluarga mangsa tidak berpuas hati dan merasakan hukuman yang diputuskan "tidak masuk akal".

Ini kerana, katanya, tertuduh hanya dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun.

Surendran juga mendakwa polis dan pejabat peguam negara "secara sistematik, sengaja dan berpakat" dalam kes itu.

Air mata ibu mengalir

"Ia tidak masuk akal. Kenapa mereka bercakap tentang sebab yang menimbulkan kecederaan, sedangkan seorang telah dibunuh," dakwa Surendran.

"Ini adalah complaint terbesar kita, kenapa tidak ada sesiapa dituduh kerana membunuh. Bukankah Kugan mati (bukan sahaja cedera), adakah beliau diseksa sehingga mati. Bahkan itu yang dilaporkan dalam laporan bedah siasat yang didedahkan kepada umum dan media," katanya lagi

NONESurendran berkata pihaknya turut terkejut dengan hukuman penjara tiga tahun ke atas Navindran bawah seksyen 330 Kanun Keseksaan, sepatutnya anggota polis dihukum bawah seksyen 331 kanun yang sama yang memperuntukkan "mendatangkan kecederaan teruk" kepada mangsa.

Seksyen 331 memperuntukkan maksimum 10 tahun penjara.

Turut hadir dalam sidang media itu ibu Kugan, N Indra Nallathamby, makciknya S Renuga dan peguam Latheefa Koya.

Dalam sidang media itu, ibu Kugan tidak mampu berkata apa-apa berhubung keputusan yang diumumkan.

Walaupun dipujuk beberapa kali oleh Surendran supaya memberi komen, Indra (atas) hanya mengalirkan air mata mengenangkan nasib yang diterimanya.

Sementara itu, Renuga berkata tidak bersetuju dan berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan terhadap Navindran, malah mendesak kerajaan memohon maaf.