Menjelang PRU, musuh ulangi pujukan
Abd Shukur Harun , | 10 Okt 2012 |
Semakin hampir PRU Ke-13, semakin rancak desakan dan pujukan supaya PAS memutuskan hubungan dengan DAP sekaligus menarik diri dari Pakatan Rakyat, kerana DAP didakwa menolak Islam.
Desakan ini tidak sekedar datang dari musuh PAS – Umno/BN – bahkan datang dari segelintir yang amat kecil jumlahnya dari ahli PAS yang keliru dan kecewa atas sebab tertentu.
Juga mereka yang tidak memahami sejarah PAS dan tidak memahami secara mendalam konsep dan pengertian Tahalluf-Siasi (Pakatan PAS dengan parti lain).
Tahalluf-siasi, seperti saya katakan dalam tulisan saya dulu, bukan rekayasa sembarangan, tidak juga ijtihad perseorangan, jauh sekali didorong oleh kepentingan duniawi.
Tetapi ia dicetuskan sebagai suatu ijtihad jamai’e (Ijtihad kumpulan) PAS setelah diadakan muzakarah antara ulama dan pemimpin tertinggi PAS dengan ulama di peringkat antarabangsa, khususnya termasuk pemimpin Ikhwanul-Muslimin dan pemimpin ulama sedunia, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.
Mereka semua, diberitakan, bersetuju PAS mengadakan ikatan politik dengan parti-parti politik di Malysia untuk kepentingan Islam, memandangkan situasi dan iklim politik di Malaysia memerlukan demikian.
Seperti diketahui, Tahalluf Siasi adalah keputusan Majlis Syura Ulama dan juga keputusan tiga kali Muktamar Tahunan PAS. Ini bermakna keputusan ini didukung oleh semua pendukung PAS, di mna tidak ada percanggahan pendapat justru hujah-hujah yang tercetus di dalam tiga Muktamar PAS itu sangat kukuh.
Tiga muktamar itu telah menjadi saksi nyata bagaimana Tahalluf Siasi diterima dan bagaimana kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat. Dengan Tahallub Siasi PAS melaksanakan siasah Muajahah Silmiah - politik cara damai.
Tiba-tiba semakin dekat dengan PRU Ke-13, muncul desakan demi desak dari pelbagai pihak, termasuk segelintir yng amat kecil ahli PAS sendiri, supaya PAS keluar dari Pakatan Rakyat. Suatu desakan yang aneh, mengelirukan, malah merbahaya kepada kelangsungan perjuangan PAS sendiri dalam percaturan politik tanah air yang bermasyarakat majmuk ini.
Pemikir dan AJK PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusuf Rawa dalam kolumnya memetik pelbagai pandangan mengenai persoalan hudud pasca kebangkitan revolusi rakyat di negara-negara Arab.
Beliau melihat sikap parti Islam yang menang dalam perubahan iklim politik di benua sebelah sana kerana dari sudut geopolitiknya umat Islam adalah majority. Oleh itu pasti persoalan hudud akan menjadi perdebatan hangat. Apa yang saya temui, kata Dr. Mujahid, ialah jawapan yang menarik antara lain ialah pandangan Fahmi Huweidi penulis profilik Mesir mengenai kontemporari Islam yang menyatakan persoalan perlaksanaan hudud perlu difahami dalam kerangka keutamaan demokrasi dan kebebasan.
Rashid Ghanouchi tokoh gerakan Islam, An Nahdah Tunisia pula, katanya, yang muncul sebagai pemenang terbanyak kerusi Parlimen Tunisia menyatakan “menjamin kebebasan dan kematangan demokrasi adalah lebih utama buat masa ini dari perlaksanaan hudud.”
Dr. Mujahid menyebut tokoh ulama dunia, Dr. Yusof Al Qaradhawi secara khusus menyatakan bahawa kemenangan pihak Islam bukan untuk menghukum rakyat dengan hudud sebelum isu pengangguran dapat di atasi dan memberikan kehidupan yang adil dan baik kepada rakyat dapat dijamin.
Beliau menghujahkan bahawa Rasulallah s.a.w datang membawa kebahagaiaan hidup pada manusia dengan keadilan sebelum hudud dilaksanakan pada tahap penghujung kerasulannya. Pengajaran ini, kata Dr. Yusuf Al Qaradhawi, perlu diberi perhatian supaya hudud diletakkan pada tahap yang sepatutnya.
Dengan pandangan demikian, saya percaya bahawa isu hudud tidak wajar menjadi penyebab dan hujah untuk mendesak PAS keluar dari Pakatan Pakatan Rakyat. Oleh itu kita jangan terperangkap dengan strategi musuh.
Saya masih ingat kata-kata Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat bahawa sejak PAS berkawan dengan DAP, semakin mudah PAS berdakwah kepada orang bukan Islam dan mereka semakin faham Islam kerana PAS memberi kefahaman jelas mengenai kesyumulan Islam kepada mereka.
Seperti gerakan Islam yang lain di dunia, PAS telah menjalani perubahan pendekatan. Maka itu ia akan terus menjadi parti politik Islam yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Dalam masa yang sama ia tetap dalam orbit Islam.
Adapun yang perlu menjadi fokus utama sekarang ialah bekerja keras untuk mencapai kemenangan dalam PRU akan datang bersama Pakatan Rakyat dan saya percaya pendukung PAS akan terus menyokong Tahalluf Siasi.
Fokus utama PAS dan Pakatan Rakyat ialah mendesak pemerintah, khususnya SPR, supaya memenuhi tuntutan lapan perkara yang diutarakan oleh Bersih, khususnya membersihkan senarai pengundi.
Mungkin hanya sebulan dua lagi PRU Ke-13 akan diadakan, di mana semakin hampir PRU semakin banyak fitnah yang dihamburkan oleh musuh Pakatan Rakyat dalam pelbagai bentuk. Sebab itu parti-parti dalam Pakatan perlu menyelesaikan masalah dalaman mereka sesegera mungkin, justru perpecahan dalama hanya menguntungkan musuh.
Tugas sekarang ialah bersiap sedia dengan jentera pilihan raya yang canggih, strategi yang betul dan tenaga kerja yang cukup. Sekarang bukan masanya berkhayal siapa bakal memegng jawatan tinggi jika berkuasa nanti. Khayalan seumpama itu perlu dihentikan segera, kerana pilihan raya belum tiba, malah belum tentu bagaimana keputusannya.
Jikapun ditakdirkan Pakatan Rakyat menang dan berjaya menguasai Puterajaya, serahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi Pakatan untuk menentukan siapa yang akan menduduki jawatan-jawatan penting. Sebarang bentuk khayalan mengenai hal ini hanya menjadi bahan tertawaan dan mengelirukan.
--------------------------------------------------------------------
Penulis boleh dihubungi melalui shukurharun@yahoo.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan