Tamat kontrak KP JPA, Abu Bakar diainaya
Hazayani Zakaria, | 30 Okt 2012 |
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerana kegagalan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang menimbulkan rasa tidak puas hati penjawat awam, Abu Bakar dakwanya telah dikambing hitam.
"Saya memang menolak SBPA tapi tindakan ini seolah-olah kerajaan mengkambinghitamkan Tan Sri Abu Bakar dengan meletakkan beban ke atas beliau seorang," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz kepada soalannya berhubung perkara tersebut di Dewan Rakyat, minggu lalu.
Nazri dalam jawapannya memberitahu, keputusan menamatkan perkhidmatan Abu Bakar dibuat atas peranan beliau semasa menerajui perancangan dan pelaksanaan SBPA yang gagal mengambil kira kepentingan semua kumpulan perkhidmatan terutamanya kumpulan sokongan serta implikasi kos yang besar kepada kerajaan.
Mahfuz juga berkata, tindakan ini menunjukkan sikap kerajaan yang suka menyalahkan pegawai mereka apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak disenangi rakyat.
"Abu Bakar hanya melaksanakan tugas sebagai ketua pengarah dan salah seorang anggota jawatankuasa gaji kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
"Semasa pembentangan awal SBPA Perdana Menteri sendiri kata ia yang terbaik tapi bila wujud penentangan banyak pihak, barulah jadi isu yang kecoh dan menimbulkan ketidakpuasan hati kakitangan awam.
"Kalau begini rupa bentuk pengurusan pentadbiran kerajaan ini sukar bagi pengawai tinggi menjalankan tugas kerana apabila lakukan tugas, bila orang ramai tak puas hati tanggungjawab dibebankan kepada mereka. Ini penganiayaan ke atas pegawai," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS.
Abu Bakar ditamatkan perkhidmatannya mulai 1 Julai lalu.
Berikutan kekosongan tersebut, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Farida Mohd Ali diberi tanggungjawab menjalankan tugas-tugas Ketua Pengarah.
Perkhidmatan Abu Bakar ditamatkan lebih awal iaitu ketika berusia 57 walaupun beliau menandatangani kontrak melanjutkan tugasnya sehingga berumur 60 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan