KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Zaleha Yusuf hari ini memutuskan bahawa Panel Pertikaian Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tersilap apabila mengekalkan keahlian Tan Sri Isa Samad di dalam Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF).
Justeru itu, beliau telah membenarkan permohonan semakan kehakiman yang dibuat oleh lima orang peneroka Felda Jengka, Pahang bagi mencabar keputusan SKM tersebut.
Pada pendengaran pagi tadi, Zaleha bersetuju dengan hujah peguam para peneroka dan memerintahkan perintah deklarasi bahawa keputusan SKM adalah tidak sah dan terbatal.
Beliau juga memerintahkan perintah Mandamus iaitu perintah yang mengarahkan KPF mengambil tindakan memadamkan dan membuang nama Isa dari rekod keahlian KPF dengan kadar serta merta.
Hakim juga memerintahkan kos RM3,000 dibayar oleh SKM kepada peneroka yang manjadi pemohon dalam kes semakan kehakiman tersebut.
Dengan keputusan mahkamah hari ini selesailah kemelut dan kontroversi status keahlian Isa Samad di dalam KPF.
Sebelum ini status keahlian Isa Samad menjadi isu hangat kerana berdasarkan undang-undang kecil KPF beliau tidak layak menjadi ahli KPF.
Keahlian KPF hanya dibenarkan kepada peneroka, isteri dan anak peneroka dan kakitangan tetap Felda. Isa tidak termasuk dalam mana-mana kategori tersebut.
Dipercayai keahlian Isa Samad tersebut diluluskan sebelum ini sebagai usaha untuk melantik beliau menjadi Pengerusi KPF. KPF adalah satu-satunya anak syarikat Felda yang belum dapat dikuasai oleh Isa Samad.
Ramai percaya bahawa KPF adalah lubuk emas kepada Felda yang telah lama diintai oleh Isa. Usaha untuk mengheret KPF ke dalam penyenaraian Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVH) juga gagal sebelum ini.
Keahlian Isa Samad telah dicabar oleh beberapa orang peneroka yang menjadi ahli KPF dan isu keahliannya telah dibawa ke Panel Pertikaian SKM pada Mei 2012.
SKM telah membuat keputusan yang dikira aneh kerana meskipun ia bersetuju keahlian Isa Samad adalah bercanggah dengan undang-undang kecil KPF namun dalam masa yang sama ia juga memutuskan keahliannya tidak boleh dibuang atau dipadam dari rekod keahlian KPF.
Dengan keputusan SKM tersebut lima orang peneroka telah mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh peguam para peneroka iaitu Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.
Pada bulan Oktober iaitu sehari sebelum Mesyuarat Agung KPF, Hakim Tuan Abang Iskandar memberi kebenaran untuk para peneroka meneruskan semakan kehakiman ke atas SKM dan hakim juga memerintahkan perintah interim menggantung keahlian Isa Samad dan melarang apa-apa pelantikan beliau sebagai Pengerusi KPF di dalam mesyuarat agung tersebut.
Pada hari ini Hakim Datuk Zaleha secara muktamad mengarahkan keahlian Isa Samad dibuang dari rekod KPF.
Dalam perbicaraan hari ini para peneroka diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin dan Azhana Mohd Khairudin manakala SKM diwakili oleh Mohd Zainudin dan KPF pula diwakili L.Doshi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan