Saya masih mahu menulis tentang Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka semalam kerana kejayaannya menarik sejuta rakyat untuk berkumpul di dalam dan di luar stadium bersejarah itu. Pertamanya saya ingin mengambil kesempatan kepada sahabat saya Hj Mohamad Sabu kerana berjaya mengetuai jawatankuasa yang telah berjaya menyempurnakan himpunan itu dengan begitu berjaya dalam sejarah politik negara.
Tidak juga lengkap jika kita tidak mengucapkan syabas kepada pihak Polis yang telah menjaga keselamatan perhimpunan itu. Keadaan aman ini juga telah membuktikan yang menjaga perhimpunan dengan jujur adalah baik dan menjauhi dari melakukan provokasi seperti yang dilakukan pada perhimpunan-perhimpunan yang terdahulu adalah perkara terpuji dan ia sedikit sebanyak memperbaiki imej PDRM dari kaca mata rakyat bukan sahaja dari dalam negara tetapi juga baik dari segi pandangan masyarakat antarabangsa.
Saya juga mengucapkan syabas kepada PAS kerana mempunyai Unit Amal yang sangat berkesan untuk menjaga keselamatan peserta perhimpunan kerana memang diketahui umum. PAS adalah parti yang begitu berpengalaman yang telah membentuk dan membina Unit Amalnya yang bekerja dengan jujur dan ikhlas untuk mempastikan perjalanan apa-apa program parti itu berlaku dengan lancar.
Dalam ceramah-ceramah saya di seluruh negara saya melihat Unit Amal PAS ini merupakan unit yang telah membantu parti-parti dalam Pakatan Rakyat dengan begitu baik dan tersusun semua program yang parti itu laksanakan. Malahan parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang lain (DAP dan PKR) mendapat bantuan yang begitu baik dari Unit Amal PAS ini. PAS mempunyai pasarana parti yang begitu baik sekali dan tidak ada parti-parti politik lain yang mempunyai satu unit yang khusus untuk menjaga keselamatan serta lalu lintas dalam sebarang perhimpunan, sama ada besar atau kecil.
Timbalan Presiden PAS itu telah memberi jawapan yang sinis kepada tuduhan UMNO yang mengatakan peserta-peserta perhimpunan itu telah dibayar oleh PAS sebanyak RM150 seorang. Tuduhan UMNO itu amat menjelekkan kerana mereka (UMNO) membuat tuduhan melulu kerana mereka ingat penyokong Pakatan itu sama seperti penyokong UMNO yang sentiasa di bayar untuk hadir dalam majlis keramaian anjuran parti yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir itu.
Jika UMNOlah yang mengumpulkan rakyat seramai itu semalam, tidak salah jika dikatakan mereka (UMNO) terpaksa berbelanja puluhan juta ringgit untuk membekalkan bas dan pengangkutan, karipap-karipap yang tebal-tebal, topi serta baju T untuk peserta. Sebaliknya PAS dan rakan dalam Pakatan pula dibantu oleh rakyat dengan derma sedikit seorang dari peserta-peserta perhimpunan itu dan telah dapat mengumpulkan wang bantuan dari rakyat dengan jumlah yang mencukupi untuk membayar kos sewaan Stadium Merdeka yang begitu mahal itu. Perhimpunan semalam itu adalah perhimpunan rakyat dan sedikit sebanyak rakyatlah yang membantu membiayai kos perhimpunan itu.
Inilah perbezaan di antara UMNO dengan PAS dan PR. Tidak ada siapa yang menanggung kos perjalanan mereka dari Kedah, Kelantan dan tidak kurang ramainya dari Sabah dan Sarawak. Itulah sebabnya perhimpunan ini kecenderungan mereka untuk kekal menyokong Pakatan adalah besar kerana mereka yang hadir itu ada saham dalam perbelanjaan melaksanakan perhimpunan yang begitu besar dalam sejarah perhimpunan politik negara itu.
Dalam suasana perubahan yang wujud pada hari ini tidak ada jentera kerajaan yang mampu untuk mendekati kemampuan yang boleh dilakukan oleh jentera parti-parti dalam Pakatan Rakyat terutamanya PAS. Kalaulah UMNO berniat untuk mengumpulkan seramai ini rakyat UMNO terpaksa menyewa tidak kurang dari lima ke enam ribu buah bas selain dari van-van dan kenderaan-kenderaan yang lain yang di sewa untuk mengangkut peserta perhimpunan mereka.
Saya tetap menyatakan dengan keyakinan yang tinggi yang Pakatan Rakyat tetap mendahului dari segi sokongan yang ‘legitimate’ rakyat kerana mereka (rakyat) menyertai program anjuran Pakatan Rakyat dengan berbelanja sendiri. Pakatan tidak payah menggunakan anggota keselamatan, agensi-agensi kerajaan serta bebagai-bagai pertubuhan untuk membawa manusia kepada himpunan yang di anjurkannya.
Tidak payah ada penyelia untuk makanan seperti nasi bungkus dan kuih muih serta minuman untuk peserta seperti lazim dilakukan oleh BN khususnya UMNO. Ia juga tidak payah membawa kumpulan K-Pop dari Korea atau bidadari dari syurga untuk membuatkan orang ramai hadir di perhimpunan mereka semalam.
Semangat yang seperti ini sudah pasti tidak dapat ditanam dalam UMNO kerana segala pergerakkan mesti dilancarkan dengan penggunaan wang yang besar. Itulah sebabnya saya selalu menyatakan yang untuk mengekalkan UMNO sebagai parti yang memerintah kita terpaksa berbelanja dengan banyak dan segala perbelanjaan itu ditanggung oleh jabatan-jabatan kerajaan.
Ahli-ahli dan pemimpin UMNO hanya bersatu semasa menyanyikan lagu UMNO sahaja. Selepas nyanyian itu mereka akan kembali bercakaran dan berusaha mengenepikan pengaruh mereka yang berlawanan untuk mendapat tempat khususnya semasa pemilihan calon pilihanraya nanti.
Himpunan rakyat semalam benar-benar merangsangkan semangat pihak yang mahu melakukan perubahan dan keyakinan mereka telah bertambah berganda-ganda dan semangat ini lah yang akan membakar semangat rakyat untuk melakukan perubahan dengan sukarela dan dengan komitmen yang tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan