Konvensyen PR: PAS sedia 'ramuan' kemenangan PRU13
Salmiyah Harun, | 25 Feb 2013 |
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Mohd Ramli berkata, ramuan kemenangan itu termasuklah menyelesaikan serta menggerakkan pembentukan jentera parti yang sedia bertempur bila-bila masa sahaja.
"798 kerusi DUN dan parlimen sudah selesai diputuskan dan akan masuk PRU kali dengan satu lawan satu dengan BN," katanya ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di SACC pagi ini.
Beliau berkata, parti-parti politik di negara ini berkempen selama lima tahun memandangkan tarikh pilihan raya sudah menjadi amalan pimpinan negara, dirahsiakan.
"Kalau kita tahu bila PRU, kita tidak perlu habis masa selama lima tahun untuk berkempen, kita tidak tahu tarikh, jadi kita perlu berkempen sepanjang masa," katanya.
Hatta berkata, Pakatan Rakyat harus bersedia dengan segala bentuk penipuan yang akan berlaku dalam PRU nanti.
"Kita di malaysia mempunyai krisis keyakinan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kalau SPR bebas kita tidak ada masalah, tetapi kita hilang keyakinan dan tidak boleh ada pilihan lain, kita kena bersedia dengan penipuan," katanya.
Apa yang penting katanya, PAS, PKR dan DAP akan menyertai pilihan raya ini sebagai gabungan mantap bagi mengambil alih kerajaan.
Malah katanya, Pakatan Rakyat juga memutuskan masa depan politik negara akan ditentukan oleh rakyat negara.
Justeru, kerjasama Pakatan Rakyat dengan rakyat Malaysia yang prihatin sama ada individu atau NGO akan mempastikan bahawa mereka yang turun mengundi adalah rakyat Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan