KUALA LUMPUR: Pengumuman oleh Pengarah Pengurusan Bukit Aman Mortadza Nazarene bahawa pihak polis akan menubuhkan satu jawatankuasa khas diketuai oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membendung insiden melibatkan kematian di dalam lokap polis amat tidak memuaskan dan tidak boleh diterima.
Lim Kit Siang (gambar) berkata, ini memandangkan apa yang rakyat Malaysia mahukan adalah Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti mana yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis Dzaiddin pada 2005 lalu bagi menamatkan terus insiden kematian dalam tahanan polis yang memalukan dan tidak berkesudahan.
Katanya, rakyat Malaysia tidak yakin terhadap KPN atau mana-mana jawatankuasa khas polis sekalipun diketuai KPN untuk menamatkan insiden kematian dalam tahanan polis.
Ini, katanya kerana selepas menunjukkan dirinya sebagai KPN paling ‘bersifat politik’ dalam sejarah pada minggu pertama dengan meletakkan keutamaan tertinggi adalah untuk melindungi rejim berbanding keselamatan rakyat daripada jenayah dan kebimbangan terhadap jenayah dan tidak begitu mengambil kira hak asasi kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman oleh rakyat.
“Khalid telah menjadi timbalan KPN sejak April 2011 dan rakyat Malaysia berhak untuk tahu apa yang telah dia lakukan sepanjang dua tahun lalu sebagai orang No.2 di dalam pasukan polis dalam menamatkan insiden kematian dalam tahanan polis, satu perkara keji dan memalukan yang ditonjolkan Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis Dzaiddin lama dahulu pada tahun 2005?” kata Lim dalam satu kenyataan.
Malah sekarang, ujarnya meskipun berlaku dua lagi kematian di dalam lokap polis, N. Dharmendran, 32, di ibu pejabat polis KL pada 21 Mei dan R. Jamesh Ramesh, 40, di ibu pejabat polis Pulau Pinang pada 26 Mei, pengumuman pihak polis sekadar berbentuk amalan perhubungan awam, kerana penubuhan jawatankuasa khas polis belum lagi dilaksanakan dan masih dalam perancangan.
“Berapa banyak kematian dalam tahanan polis telah berlaku sepanjang lapan tahun lalu sejak laporan dan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis Dzaiddin pada 2005?” tanya Ahli Parlimen Gelang Patah itu.
Justeru, beliau bertanya apakah pihak polis bersedia untuk mendedahkan kepada umum senarai kematian dalam tahanan polis sepanjang lapan tahun lalu sejak RCI Polis Dzaiddin, menyatakan tindakan yang telah diambil pada setiap kes, termasuk hukuman ke atas anggota polis yang ingkar.
Menurutnya Mortadza bercakap tentang polis membenarkan lawatan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi memantau insiden kematian dalam tahanan polis.
“Itu tidak mempunyai apa-apa makna apabila sudah lebih dari sebulan tiada seorang pun Pesuruhjaya Suhakam sejak tamat tempoh pelantikan kumpulan Pesuruhjaya Suhakam yang lalu,” ujarnya yang juga Penasihat DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan