KUALA LUMPUR: AMK Pulau Pinang mengecam pendakwaan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat hari ini yang terdiri daripada Ahli Parlimen Ipoh Timur, Thomas Su, Setiausaha PKR Perak, Anuar Zakaria, Ketua AMK Negeri Sembilan, Nazree Yunus dan Setiausaha Kerja PKR Pulau Pinang, Ong Eu Leong.
“Pendakwaan mereka di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) dilihat bermotif politik dan dengan tujuan untuk menekan rakyat daripada terus menuntut hak mereka sebagai warga yang bebas dan demokratik,” ujar Naib Ketua AMK Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin dalam satu kenyataan.
Katanya, Menteri Dalam Negeri yang baru harus sedar bahawa kerajaan yang mereka tubuh hanya didukung oleh 47% pengundi pada PRU13.
Hakikatnya, kata beliau 51% pengundi memilih Pakatan Rakyat dan Manifesto Rakyat.
“Saya seru Menteri Dalam Negeri dari Barisan Nasional agar menghormati kehendak rakyat ini. Hentikan kegilaan dan sikap angkuh pimpinan Barisan Nasional,” ujarnya yang Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang.
Katanya, segala perhimpunan yang dianjurkan Pakatan Rakyat selaras dengan semangat Perlembagaan.
Tegasnya, setiap rakyat dijamin hak dan kebebasan mereka berhimpun dan bersuara.
Katanya, kekecewaan rakyat di seluruh negara dengan keputusan pilihan raya jelas terpancar dengan kehadiran rakyat di setiap himpunan yang dianjurkan.
Sehubungan itu, beliau yang juga Adun Seberang Jaya menggesa pihak berwajib untuk menggugurkan pendakwaan kepada pimpinan Pakatan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan