
Siri kejadian runtuh di negeri pengeluar minyak Terengganu terus rancak berlaku. Terbaru, bumbung Masjid Kampung Binjai Kertas , Kuala Berang runtuh malam tadi. Masjid yang dibina pada tahun 2007 runtuh kira-kira selepas solat Isyak malam tadi itu walaubagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa.
Namun begitu, kejadian runtuh di Terengganu ini tidak boleh dipandang enteng walaupun tidak pernah meragut nyawa.
Siri runtuhan bermula sejak April 2008 dengan kejadian dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Tapai runtuh. Seterusnya kejadian runtuh yang melibatkan stadium baru Stadium Sultan Mizan pada Jun 2009, bangunan Universiti Malaysia Terengganu yang masih dalam pembinaan pada Mac 2010, surau Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam pada Julai 2010, pondok rehat Bazar Warisan pada Januari 2011, Astaka Jertih pada Jun 2012, papan tanda gergasi Pusat Penyelidikan UMT pada Julai 2012, tangki air Sekolah Menengah Kebangsaan Paka juga pada Julai 2012.
Pada tahun 2013 pula, rakyat Malaysia sekali lagi digemparkan dengan kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan runtuh lagi semasa proses pembaikan dijalankan diikuti dengan kejadian pagar padang sintetik pertama di Malaysia yang masih belum dirasmikan runtuh pada 1 Mei yang lalu manakala kejadian bumbung Masjid Binjai Kertas Kuala Berang pula berlaku malam tadi.
Kejadian runtuh ini tidak boleh dipandang remeh. Pertama kerana ianya melibatkan duit rakyat dan aspek keselamatan tidak boleh diperjudikan. Walaupun setakat siri runtuhan ini berlaku masih belum meragut nyawa, namun malang itu tidak berbau. Mungkin sahaja bangunan baru istana di Chendering boleh runtuh tanpa kita sedari boleh melibatkan orang terpenting di negeri permai Terengganu ini.
Persoalan timbul apabila siri runtuhan ini hanya melibatkan bangunan yang baru setahun jagung usianya. Kenapa siri runtuhan tidak melibatkan bangunan yang sudah bertapak seperti Muzium Negeri, Wisma Darul Iman mahupun Stadium Sultan Ismail?
Di mana silapnya perlu kita kaji bagi membendung perkara ini berulang lagi. Maka, saya cadangkan agar satu Suruhanjaya Diraja di peringkat negeri dibentuk. Suruhanjaya ini mestilah bersih daripada orang yang berkepentingan bagi mengkaji dan membentangkan punca runtuhan-runtuhan berlaku kepada umum dan seterusnya membawa orang yang bertanggungjawab terhadap runtuhan tersebut dibawa ke muka pengadilan. Kedua, bagi mengkaji keselamatan bangunan- bangunan yang baru dibina di Terengganu menepati spesifikasi yang ditetapkan.
Hal ini penting supaya kejadian runtuhan tidak berlaku lagi juga tiada nyawa yang melayang. Pembaziran duit rakyat juga dapat dielakkan. Kos membina bangunan itu tinggi apatah lagi kos untuk memperbaikinya setelah runtuhan berlaku. Kejadian runtuhan di stadium belum lagi selesai diperbaiki, bangunan lain pula yang runtuh yang akhirnya merugikan rakyat. Kita perlu bertindak sekarang, sebelum ianya meragut nyawa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan