KDN geledah kilang cetak Harakah, cari SK
Dzulfikar Mashoor |
SHAH ALAM, 7 Julai: Kilang Angkatan Edaran, kilang yang biasa mencetak akhbar Harakah dipantau oleh empat pegawai kanan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) jam 10.30 pagi tadi, kata pengusaha yang enggan namanya disiarkan. Beliau memberitahu, para pegawai terbabit membuat penggeledahan kecil tanpa waran di kilangnya, Seksyen 16, di sini untuk mencari akhbar tanpa permit 'Era Keadilan' milik PKR. "Suara Keadilan (SK) pun mereka tak cetak di sini, takkan kita nak cetak yang lain," ujar beliau sebagaimana yang diberitahu kepada pegawai terbabit. Katanya lagi, satu lagi kilang milik beliau di sini turut digeledah untuk mencari SK mahupun 'Era Keadilan'. Sebelum digeledah, katanya lagi, wujud pertikaman lidah antara seorang pegawai lelaki KDN dengan seorang pekerjanya. "Waran tak ada, nak geledah geledahlah tapi kalau ada yang hilang, CCTV ada untuk tangkap yang curi dalam kilang ini," ujar beliau lagi memetik amaran pekerjanya itu. Dalam perkembangan berkaitan, KDN turut diwar-warkan mahu menyerbu ibu pejabat PKR di Tropicana sebelum ini untuk memburu edisi terbaru 'Era Keadilan'. Inisiatif KDN itu ekoran iltizam PKR untuk terus menerbitkan akhbar yang menjadi lidah rasmi parti itu. Pada 2 Julai lalu, permit Suara Keadilan digantung ekoran tersiarnya laporan 'Felda Bankrap' yang dianggap mengancam sensitiviti politik pihak tertentu dalam kerajaan. Lanjutan itu, Felda bertindak menyaman Suara Keadilan sebanyak RM200 juta. Manakala, PKR pula menyifatkan tindakan KDN dengan tidak merujuk kes tersebut ke mahkamah terlebih dahulu sebagai langkah membunuh kebebasan media |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan