PADA 8 Jun Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden MCA, Dr. Chua Soi Lek berdebat sekali lagi dalam bahasa Inggeris pula.
Mereka sudah berdebat sekali sebelum ini dalam bahasa Mandarin. Perdebatan itu tidak tersebar luas kerana ia dapat diikuti oleh masyarakat Cina saja. Orang Melayu dan diplomat asing hanya dapat mengikuti dari petikan berita dan terjemahan yang tidak menyeluruh.
Kali ini penduduk Malaysia seluruhnya dan masyarakat Asia Tenggara akan dapat mengikuti perbahasan penting oleh dua tokoh yang mewakili pertubuhan politik yang mewakili masyarakat Cina Malaysia itu.
Debat politik adalah perkembangan penting dalam politik sekarang. Setiap ketua parti utama di kebanyakan negara demokrasi di dunia wajib menyertai siri debat terutama menjelang pilihan raya.
Dan orang-orang yang hendak menjadi Presiden atau Perdana Menteri mesti berani berdebat di kalayak umum atas apa jua isu yang berbangkit. Tidak lagi ada calon ketua kerajaan atau ketua kerajaan mengelak dari berdebat di depan umum.
Sama ada bersedia atau tidak bersedia calon Perdana Menteri mesti berani berdebat. Tidak ada lagi dalam politik moden Perdana Menteri atau calon Perdana Menteri takut berdebat.
Bagi yang takut berdebat tidak dikira sebagai calon yang layak jadi Perdana Menteri.
Dalam politik di Malaysia sekarang orang menunggu bila Perdana Menteri dan Perdana Menteri menunggu sedia berdebat. Anwar Ibrahim yang sudah diumumkan sebagai Perdana Menteri menunggu sudah lama menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Perdana Menteri Najib.
Hanya Najib tidak pernah berani untuk menyahut seruan semasa. Najib dikira tidak bernasib baik seperti Dr. Mahathir dan Tun Abdullah Badawi yang tidak pernah dicabar oleh mana-mana tokoh pembangkang untuk berdebat. Tetapi musim Najib sudah tidak sama lagi. Masa ini calon PM mesti berani berdebat.
Kita hanya dapat melihat debat oleh tokoh muda seperti Rafizi Ramli dari PKR dan Khairy Jamaluddin yang berani berdebat, tetapi masa mereka untuk jadi Perdana Menteri lewat lagi.
Bagaimana pun yang berani berdebat bila-bila masa ialah pemimpin-pemimpin Cina yang mewakili DAP dan MCA.
Semua tahu bahawa MCA adalah parti Cina zaman lalu, ia dirasakan sudah tidak ada kekuatan dan kedudukannya dalam Barisan Nasional tidak lagi seperti di zaman Tan Cheng Lock dan Tan Siew Sin, tetapi Dr. Chua Soi Lek dengan serba kelemahan yang ada padanya dia berani untuk berdebat dengan seteru politik yang lebih gagah iaitu Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Walaupun Guan Eng tahu kelemahan MCA dan ia seperti tinggal nyawa-nyawa ikan, seolah-olah tidak cukup handal untuk berdebat dengan parti Cina yang terkuat sekarang, tetapi dia bersedia kerana debat itu dapat memberi pelajaran dan pengetahuan kepada kaumnya.
Walaupun mereka mahu mencari keuntungan politik peribadi, tetapi depat tetap ada risiko baginya. Apa pun yang penting orang ramai akan dapat mengambil bahan dan pengetahuan yang terbaik dari isi debat itu. Dalam hal masyarakat Cina akan beruntung kerana kedua-dua berani berdebat atas isu kepentingan kaum Cina atau kepentingan rakyat secara umum.
Sekarang yang berani berdebat adalah pemimpin dari kaum Cina. Pemimpin Melayu tidak berani. Rakyat melihat yang berani ialah Cina.
Perdana Menteri Melayu tidak berani. Macam mana Perdana Menteri Melayu dapat penghormatan dan pengiktirafan dari sekalian rakyat khususnya bukan Melayu kalau orang Melayu tidak berani berdebat.
Calon Perdana Menteri dan Perdana Menteri, bukan saja terdiri dari orang yang berani tetapi adalah orang yang serba boleh dan mampu menghadapi apa jua masalah yang timbul. Maka tiada juang bagi Perdana Menteri dan calon Perdana Menteri yang tidak berani untuk menjadi Perdana Menteri.
Pada masa orang membangkitkan isu orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri, maka bakal Perdana Menteri itu mesti berani ke depan.
Jika orang lihat yang berani pemimin DAP dan MCA saja yang berani, maka bagaimana orang Melayu hendak mempertahankan kedudukan itu sebagai sifatnya orang Melayu saja. Jangan jadi Perdana Menteri semata-mata kerana tok nenek orang Melayu, tetapi jadilah orang Melayu yang berani dan pintar.
Dunia demokrasi yang terbuka orang mahu melihat Melayu yang berani. Maka orang Melayu mestilah tunjukkan mereka juga berani seperti pemimpin Cina yang ditunjukkan oleh Guan Eng dan Soi Lek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan