12 termasuk enam polis terbunuh di Semporna
Harakahdaily, | 04 Mac 2013 |
Kematian polis bertambah seorang lagi berbanding lima yang dilaporkan sebelum ini, kata Datuk Seri Ismail Omar, Ketua Polis Negara dalam sidang medianya di Felda Sahabat Residence malam tadi.
"Selepas operasi yang berakhir jam 7 petang tadi (semalam), kami temui satu lagi mayat anggota polis, jadi jumlahnya enam," kata Ismail sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini.
Polis juga katanya menjumpai enam mayat lagi yang identitinya tidak dapat disahkan.
"Kami percaya ia adalah mayat musuh," kata Ismail.
Beliau juga memberitahu, semua 19 polis yang terselamat dalam kejadian itu selamat keluar dari kampung air itu.
"Kami dah keluar semua mereka dengan selamat dan kini mereka di Balai Polis Daerah Semporna.
"Dengan perkembangan ini, kejadian di Semporna selesai dan situasi sudah kembali kepada biasa," jelasnya.
Bernama melaporkan, suasana di Kampung Simunul Semporna masih tenang walaupun ada yang mengambil langkah berjaga-jaga termasuk tinggal di rumah saudara masing-masing di luar.
Krisis keselamatan terbesar
AFP pula melaporkan apa yang berlaku kali ini adalah krisis keselamatan yang paling besar sejak kebelakangan ini.
Semporna adalah 150 km dari Kampung Tanduo di mana 100 - 300 orang bersenjata sedang dikepung oleh polis dan tentera Malaysia.
Mereka datang ke Malaysia sejak 12 Februari lalu untuk menuntut kawasan itu untuk pemimpin mereka.
Jamalul Kiram 111 yang berpengkalan di Manila menuntut kawasan kesultanan Sulu untuk selatan Filipina dan Sabah.
Tidak dapat dipastikan apakah serangan di Semporna telah selesai atau tidak.
Ketua Polis Negara, Ismail Omar berkata, polis sedang menyiasat laporan tentang adanya sekumpulan orang bersenjata di Kunak, sebuah lagi bandar di daerah sini.
"Pasukan keselamatan kami kini ada di tiga kawasan," kata beliau dalam sidang media malam tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan