PAS Pusat tidak akan menuntut jawatan Menteri Besar Selangor walaupun parti rakan Pakatan Rakyat itu mempunyai kelebihan satu kerusi berbanding PKR pada Pilihan Raya Umum 13.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata demi semangat setia kawan bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan kekal sebagai MB Selangor.
Pakatan Rakyat berjaya mendapat kembali mandat rakyat untuk membentuk kerajaan di negeri Selangor selepas memenangi 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-13.
Namun, Pakatan masih belum memutuskan siapa yang akan mengetuai kerajaan negeri tersebut.
Terdahulu, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Khalid Ibrahim dilantik sebagai menteri besar Selangor.
PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi DUN manakala PKR menang 14 kerusi DUN.
Khalid memberi jaminan kepada rakyat bahawa pemimpin tertinggi Pakatan akan membuat keputusan mengenai perkara itu dalam minggu ini.